Jumaat, 3 Ogos 2012

Kajian Kesihatan Tentang Berpuasa

Tidak dapat disangkal lagi, berpuasa secara tidak langsung dapat memberikan faedah besar terhadap kesihatan tubuh. Waktu rehat yang diberikan kepada saluran pemakanan dalam tempoh sebulan cukup untuk meregang dan melegakan bahagian penghadaman itu. Dalam erti kata lain mengembalikan kekuatan dan kecergasannya pada waktu selepas berlalu Ramadan. 

Apabila merujuk Hippocrate yang bergelar Bapa Perubatan Greek, beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit.

Pakar perubatan Arab, Dr Umayyah Lahud dalam bukunya menjelaskan: “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran. Ini hasil daripada puasa yang menjadikan tubuh merangsang asid yang menolak segala toksin. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih daripada segala zat yang diperoleh dari pemakanan harian, manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”

Tidak diragukan lagi puasa ini adalah tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita ibadah amat bermanfaat. Pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi pesakit mereka berbanding pemberian ubat atau rawatan lain.

Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan beberapa pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan mampu menyingkirkan sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.

Kewujudan pasar Ramadan menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga, maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi dan jantung. Penyakit hati yang timbul pula seperti tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.

Apabila mereka merujuk hospital akibat penyakit dihidapinya, pasti banyak penyakit itu berpunca daripada perut yang kekenyangan. Allah berfirman: “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.”

Ayat ini jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi pada akhirnya turut melarang berlebihan dan membazir. Ulama menyatakan, dalam ayat yang ringkas itu Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.

Kaum terdahulu turut melarang mengambil makanan dan minuman melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya: “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”



Justeru, setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap hamba-Nya. Tidak perlu kita merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum sehingga membawa pembaziran. Di samping itu, berdoalah untuk mendapatkan keberkatan di dunia dan di akhirat kelak.
(sumber:Berita Harian, 1 Sept,2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan